NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedia mempertimbangkan untuk mewujudkan perjawatan warden bukan dalam kalangan guru di sekolah berasrama, dalam menangani pelbagai isu termasuk kes buli.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (gambar) berkata KPM menerima semua pandangan berhubung perkara itu, dalam masa sama pihaknya juga sentiasa terbuka mendengar cadangan bagi sebarang penambahbaikan di sekolah dan asrama.

“Sebenarnya pandangan tersebut telah dikemukakan sebelum ini dan saya fikir kita perlu lihat ekosistem secara keseluruhan sekolah itu, sama ada sesuai atau tidak melantik orang lain sebagai warden, tapi cadangan tersebut kita pertimbangkan.

“Kita juga kena perkukuhkan semua ekosistem yang ada, untuk memastikan gejala buli ini benar-benar dapat ditangani di semua peringkat, khususnya peringkat sekolah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Ahli Parlimen Nibong Tebal di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), di sini malam ini.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung cadangan beberapa pihak terutama ibu bapa, yang mahu KPM agar menambah baik sistem perjawatan warden bagi menjamin keselamatan pelajar.

Mereka turut menyarankan agar jawatan warden tidak digalas oleh para guru, bagi meringankan beban guru memikul dua tanggungjawab berat.

Sementara itu, Fadhlina berkata KPM juga sedang memperkasakan guru kaunseling untuk memberi sokongan kepada ekosistem displin di sekolah, dalam menangani dan membanteras kegiatan buli dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata dalam masa sama, pihaknya juga sentiasa menambah baik dari semasa ke semasa garis panduan yang disediakan oleh KPM, untuk mengatasi buli termasuk buli siber. -Bernama