JAKARTA: Sebanyak 3,614 rumah rosak akibat letusan Gunung Ruang di Kepulauan Sitaro di wilayah Sulawesi Utara minggu lepas, menurut Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia.

Jurucakapnya Abdul Muhari berkata bilangan penduduk yang dipindahkan dari dua kampung di pulau itu telah berkurangan kepada 3,582 orang daripada jumlah sebelum ini 6,045 mangsa pada Isnin.

“Sebanyak 834 penduduk tidak boleh kembali kerana rumah mereka di sekitar Gunung Ruang rosak teruk dan penduduk di Tagulandang kekal dalam zon pemindahan,” katanya dalam kenyataan.

Pihak berkuasa tempatan menggesa penduduk dan pelancong berhampiran kawasan itu agar berhati-hati dan mengelak berada dalam radius empat kilometer dari pusat kawah aktif.

Pada Isnin, status gunung berapi itu diturunkan ke Tahap III daripada Tahap IV oleh Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bahaya Geologi (PVMBG) negara itu.

Timbalan Pemulihan dan Pembinaan Semula BNPB Jarwansyah yang berada di tapak terjejas sejak 18 April, mengesahkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi di Manado, kira-kira 95 kilometer dari Gunung Ruang, yang terganggu sejak Khamis lepas, disambung semula pada Isnin.