TAIPING: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Perak, menggunakan mesin pengomposan CW300, yang berfungsi mengurai semua jenis sisa makanan menjadi baja organik.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Teh Kok Lim berkata mesin bernilai RM317,000 dengan kapasiti 300 kilogram (kg) itu, berupaya menghasilkan 60kg kompos dalam tempoh 24 jam dan ditempatkan di Plaza Perbandaran Taiping.

“Jumlah penjanaan sampah daripada aktiviti perniagaan di Plaza Perbandaran Taiping ialah 14 tan sehari. Daripada jumlah itu dianggarkan 12.5 tan merupakan sisa makanan dan sisa organik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Pengkomposan Sisa Makanan MPT, di sini hari ini.

Teh berkata mesin berkenaan, berupaya mengurai semua jenis sisa makanan dalam persekitaran aerobik menggunakan parameter terkawal seperti suhu, agitasi dan aliran udara.

“Untuk setiap proses kompos, pengguna boleh membuang semua jenis sisa makanan termasuk buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, tenusu, daging, tulang ikan, kulit telur dan cengkerang,” katanya.

Teh berkata kaedah sama akan diguna pakai di Ipoh dan Teluk Intan, bergantung kepada keberkesanan pelaksanaan di Plaza Perbandaran Taiping. -Bernama