PUTRAJAYA: Seorang pemandu lori tersepit manakala seorang lelaki mengalami cedera ringan, dalam nahas melibatkan lima kenderaan di Jalan Salak Tinggi menghala Sepang dekat sini, pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 10.29 pagi dan seramai 13 anggota bersama dua buah jentera dan sebuah EMRS, dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja menyelamat.

“Sebuah lori membawa muatan tanah terbabas ke bawah jejambat dan terbalik dan terdapat seorang mangsa yang berumur 50 tahun tersepit di bahagian pemandu lori,” katanya.

Kemalangan itu melibatkan sebuah lori 13 tan dan treler yang membawa muatan tanah dan tiga kereta, manakala seorang lagi mangsa berumur lingkungan 40-an yang mengalami cedera ringan, dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan kejadian tersebut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu, untuk menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Sepang.