KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket membekalkan sistem rekod dan mengira wang kepada pusat panggilan bagi menjalankan penipuan dalam talian yang menumpukan kepada warga China.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata bertindak atas risikan, satu serbuan telah dijalankan di sebuah premis di Cheras pada 10 April lepas dengan lapan individu ditahan.

Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita warga China serta seorang wanita warga Vietnam.

“Enam daripada lapan individu terlibat telah didakwa di Mahkamah Majistret Jalan Duta pada 16 April mengikut Seksyen 120(2) Kanun Keseksaan manakala dua individu yang lain telah dilepaskan tanpa syarat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ramli berkata polis turut merampas empat komputer riba, dua monitor, 10 telefon bimbit, modem, router dan wang tunai berjumlah RM3,122.

Beliau berkata pemeriksaan dan penyiasatan terhadap barang kes mendapati sindiket itu telah beroperasi sejak Mac lepas serta berfungsi sebagai pembekal sistem rekod dan mengira wang untuk penipuan tawaran pekerjaan dalam talian.

“Sindiket berperanan sebagai pengaturcara dalam sistem pengurusan kewangan untuk sindiket penipuan dalam talian dan sindiket lain yang inginkan perkhidmatan itu hanya perlu membayar RM1,000 sebulan untuk menggunakan sistem terbabit.

“Mereka juga bertanggungjawab untuk menyelenggara dan menyelesaikan semua isu berkaitan dengan sistem itu. Sindiket ini berjaya menjual sistem mereka kepada lima pelanggan yang berpangkalan di China dan semua pembayaran dilakukan dalam mata wang USDT (mata wang kripto),” katanya.

Sementara itu, Ramli berkata pihaknya turut menumpaskan sindiket pusat panggilan menawarkan perkhidmatan penyiaran penipuan kepada warga China di Taman Maluri Cheras, 12 April lepas, dengan penahanan lima individu terdiri daripada dua lelaki tempatan dan tiga lelaki warga China berusia 28 hingga 33 tahun.

“Mereka berperanan sebagai penyelia dan pegawai perkhidmatan pelanggan di pusat panggilan. Dua daripada lima individu yang terlibat telah didakwa di mahkamah pada 16 April mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan manakala tiga individu yang lain telah dijadikan saksi pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati sindiket itu menawarkan pakej siaran televisyen, drama dan filem palsu yang menumpukan kepada warga China.