SHAH ALAM: Polis percaya berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah ke Sarawak dengan penahanan dua buruh binaan dan merampas pelbagai dadah bernilai RM1.76 juta di dua lokasi berasingan, pada Isnin lepas.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi (gambar) berkata lelaki tempatan dan warga asing berusia 29 dan 44 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 ketika cuba menaiki penerbangan ke Sarawak, pada 4.11 pagi.

“Kedua-duanya berada dalam keadaan mencurigakan dan ditahan ketika proses imbasan bagasi yang membawa kepada penemuan 7,000 gram dadah jenis Methamphetamine, pil eramin 5 seberat 5,950 gram dan pil ekstasi seberat 61 gram.

“Dadah berkenaan dijumpai disorok di dalam satu beg sandang dan satu bagasi milik kedua-duanya,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Sasikala Devi berkata susulan tangkapan itu, polis kemudiannya menyerbu kondominium yang disewa dua lelaki terbabit di Seri Kembangan, Selangor dan merampas 9,000 gram pil eramin 5 dan 169.65 gram ketamin, menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1.76 juta.

Beliau berkata modus operandi sindiket itu ialah dengan menggunakan penerbangan bagi mengaburi pihak berkuasa dengan dipercayai aktif menyeludup dadah ke Sarawak sejak empat bulan lepas.

“Siasatan awal mendapati suspek telah beberapa kali menggunakan kaedah penerbangan bagi tujuan tersebut dan semasa kejadian, mereka dijangka berlepas ke Sibu, iaitu satu daripada pasaran pengedaran dadah sindiket itu,” katanya.

Sasikala Devi berkata lelaki warga tempatan itu didapati mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala kedua-dua lelaki berkenaan positif terhadap dadah jenis amphetamine serta Methamphetamine.

“Kedua-duanya kini direman hingga 28 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sasikala Devi berkata pihaknya masih menunggu laporan forensik bagi mengesan pemilik cap jari bagi kes sebuah bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 yang ditemukan di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Damansara, pada Mac lepas.

Beliau berkata setakat ini polis telah merakam keterangan daripada 10 individu termasuk pemilik syarikat teknologi maklumat yang mendakwa wang tersebut miliknya.

“Kita masih menunggu saksi-saksi tampil menunjukkan bukti sumber daripada mana wang tersebut diperoleh dan ia mungkin memerlukan masa untuk memutuskan pemilik wang tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata seorang pengawal keselamatan menemukan sebuah bagasi berisi wang tunai berjumlah lebih RM500,000 di tempat letak kereta di pusat beli-belah berkenaan, pada pagi 20 Mac.