SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menerusi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntukkan RM3 juta untuk program Insentif Haji Muassasah 1445H/2024M.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata 6,000 bakal jemaah haji negeri itu akan menerima manfaat RM500 seorang menerusi insentif tersebut, iaitu peningkatan sekali ganda berbanding tahun lepas.

Beliau berkata sejak dilaksanakan pada 2022, seramai 6,000 jemaah muassasah telah dibantu oleh Kerajaan Negeri Selangor, iaitu 3,000 jemaah pada 2022, dan 3,000 lagi pada 2023.

“Bagi tahun ini jumlah bakal jemaah yang dibantu dan amaun yang diperuntukkan kali ini adalah dua kali ganda berbanding tahun-tahun yang lepas,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Amirudin berkata permohonan bagi insentif yang dilaksanakan menerusi kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN), Pejabat Penyelaras DUN dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) itu akan dibuka bermula 6 Mei hingga 23 Ogos depan.

“Bagi memudahkan proses pendaftaran, bakal jemaah boleh memohon untuk Insentif Haji Muassasah di Pusat Khidmat Masyarakat DUN masing-masing dengan membawa salinan bercetak Jadual Penerbangan Haji Muassasah Tahun 2024 dengan paparan KOD MUAS,“ katanya.

Beliau berharap insentif ini dapat memudahkan urusan perjalanan bagi para jemaah yang bakal meraikan dhuyufurrahman pada tahun ini.