KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memperolehi sebarang dokumen sokongan daripada dua putera Arab Saudi berkaitan ketulenan empat surat dikaitkan dengan derma didakwa diberikan oleh kerabat diraja Arab Saudi kepada Datuk Seri Najib Razak.

Penguasa Kanan SPRM Nur Aida Arifin, 37, berkata pihaknya telah pergi ke Istana Riyadh pada 2015 bagi mengadakan pertemuan dengan dua putera Arab Saudi bagi memastikan ketulenan empat surat yang dikaitkan dengan derma RM2.6 bilion.

“Tiada dokumen menunjukkan transaksi berkaitan dana yang dimasukkan dalam akaun bank Najib adalah datang daripada dua putera Arab Saudi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

Saksi pendakwaan ke-49 itu menjelaskan bahawa kedua-dua putera itu tidak memberi keterangan berhubung dana yang didakwa masuk ke dalam akaun bekas perdana menteri atas alasan protokol diraja.

“Mereka hanya menunjukkan pasport untuk tujuan pengecaman dan tiada salinan dibekalkan,” katanya.

Nur Aida berkata pegawai SPRM yang telah pergi ke Riyadh pada ketika itu adalah Asisten Komisioner SPRM Mohd Nasharudin Amir, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM, Fikri Ab Rahim, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang ketika itu sebagai wakil Pejabat Peguam Negara.

Nur Aida juga tidak menolak cadangan Muhammad Shafee bahawa kesemua mereka (pegawai SPRM) itu boleh dipanggil sebagai saksi dalam kes ini kerana mereka adalah pegawai yang berjumpa dengan dua putera Arab itu dan relevan untuk perbicaraan ini.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.