KOTA BHARU: Suspek lelaki yang terlibat kes tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Terminal 1, pada 14 April lepas, akan dituduh di Mahkamah Kota Bharu di sini esok.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun (gambar) berkata suspek kemungkinan akan dituduh di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

Beliau berkata suspek juga akan dituduh di bawah Seksyen 108 (3) (f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara (PPPN) 1990.

“Suspek akan dituduh di Mahkamah Kota Bharu pada esok dan kemudian akan dibawa ke Mahkamah Sepang untuk pertuduhan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Pada 15 April lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata suspek terlibat dengan kejadian tembakan di KLIA yang mencederakan seorang pengawal peribadi, telah ditahan pada kira-kira 3 petang di satu lokasi di Kota Bharu, Kelantan.