KOTA BHARU: Tiga penunggang motosikal maut manakala tiga lagi cedera parah akibat berlanggar sesama sendiri dalam kemalangan membabitkan enam motosikal dan sebuah kereta di kilometer 9.9 Lebuhraya Ketereh-Kota Bharu di sini pada 12.50 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata mereka yang terlibat terdiri daripada penunggang motosikal berumur 19 hingga 21 tahun yang menunggang secara berkumpulan dari arah Ketereh menghala ke Kota Bharu.

“Apabila sampai di tempat kejadian, dua motosikal telah berlanggar sesama sendiri, dipercayai semasa cuba mengelak sebuah motosikal yang terjatuh pada awalnya, sekali gus menyebabkan ia pula dilanggar oleh motosikal di belakang.

“Salah sebuah motosikal yang terlibat juga telah melanggar belakang sebuah kereta yang berhenti di laluan kecemasan sebelah kiri menghala ke Kota Bharu memandangkan tempat kejadian merupakan jalan yang lurus dan gelap tanpa lampu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tiga penunggang yang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah telah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk dibedah siasat.

Mohd Rosdi berkata tiga lagi penunggang motosikal yang turut mengalami kecederaan parah kini menerima rawatan di zon merah Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu manakala pemandu kereta terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis meminta orang ramai yang melihat kejadian ini tampil bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau boleh hubungi Pegawai Penyiasat Trafik Nurul Izzati Mohammad Rosli di talian 09-7752315,” katanya.