BALING: Seorang wanita warga emas maut dihempap pokok tumbang di sebuah kawasan perumahan di Pulai dekat sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat dalam kenyataan berkata kejadian berlaku ketika hujan lebat serta angin kencang kira-kira 3 petang tadi yang melanda beberapa kawasan di daerah ini dan berterusan sehingga 3.40 petang.

“Lebih kurang pukul 3.45 petang, Balai Polis Kupang menerima maklumat kejadian seorang mangsa telah dihempap pokok yang tumbang berhampiran kawasan rumah yang terletak di hadapan Sekolah Kebangsaan Pulai, Kupang,“ katanya.

Beliau berkata bomba tiba di lokasi pada 4.10 petang dan mula memotong pokok untuk mengeluarkan Rafiah Zakaria, 86, yang disahkan maut di tempat kejadian oleh anggota Kementerian Kesihatan.

Shamsudin berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim pada 4.40 petang tadi untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.