Your Title

PUTRAJAYA: Lebih banyak produk tempatan terutamanya daripada syarikat dan pengusaha industri kecil dan sederhana (PKS) dicadang untuk dipasarkan melalui rangkaian Lulu Hypermarket.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh dalam kenyataan hari ini berkata pada masa ini terdapat 3,116 unit penyimpanan stok (SKU) daripada keseluruhan produk yang dijual di Lulu Hypermarket dibekalkan oleh PKS tempatan iaitu 22 jenis produk atau barangan yang telah dibawa ke pasaran antarabangsa.

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan semasa lawatan kerja delegasi Malaysia yang diketuainya ke Doha, Qatar selama tiga hari yang bermula pada 10 Mei lepas, bersama pengurusan Lulu Hypermarket iaitu Pengarah Lulu Group International Dr Mohamed Altaf, dan Pengarah Wilayah Lulu Group, Wilayah Qatar, Shaijan.

Dalam pertemuan tersebut, Fuziah turut menyatakan hasrat untuk mengetengahkan beberapa produk baharu yang dihasilkan oleh PKS tempatan iaitu makanan ‘sedia untuk dimakan’ yang berkonsepkan makanan yang boleh dimakan tanpa perlu dimasak atau dipanaskan terlebih dahulu.

“Inisiatif ini selain daripada memperbanyakkan jumlah produk Malaysia ke luar negara, ia juga adalah untuk menarik pengguna mendapatkan pelbagai produk dengan lebih mudah di pasaran antarabangsa,“ katanya.

Sehingga April 2024, LuLu Group International mempunyai hampir 200 cawangan perniagaan runcit berformatkan hypermarket, supermarket dan gedung membeli-belah di 22 negara dengan pelbagai jenama seperti LuLu Hypermarket, LuLu Express, Al Falah Plaza dan Emirates General Market.

Semasa lawatan kerja ke Doha, Fuziah turut mengadakan pertemuan singkat bersama Timbalan Menteri Kerjasama Antarabangsa Qatar Lolwah Rashid Al-Khater, bagi membincangkan peluang kerjasama strategik antara Malaysia dan Qatar dalam usaha meningkatkan lagi pengedaran produk Malaysia ke Qatar dan antarabangsa.