PUTRAJAYA: Pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) Malaysia masih ketinggalan berbanding negara maju seperti Korea Selatan, Jepun dan Singapura, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Beliau berkata bagi merapatkan jurang itu, agenda Ekonomi MADANI menetapkan sasaran untuk negara mencapai Perbelanjaan Kasar untuk Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) sebanyak 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

Katanya langkah itu untuk menjamin pembangunan ekonomi yang kukuh dalam jangka masa panjang.

“Dengan meningkatkan pelaburan dalam R&D, Malaysia berhasrat untuk menaik taraf kedudukan negara setanding dengan negara-negara maju yang telah berjaya menggunakan R&D untuk meningkatkan daya saing global mereka,” katanya pada majlis pelancaran Mimos Technology Preview (MTP) 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Aminuddin Hassim serta Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mimos Dr Saat Shukri Embong.

Chang berkata peningkatan pelaburan dalam sektor R&D dapat mendorong kepada produktiviti yang lebih tinggi, mencipta pekerjaan berkemahiran tinggi, sekali gus meningkatkan nilai ekonomi negara.

“Selain itu, ia merangsang inovasi dalam sektor utama seperti bioteknologi, tenaga boleh baharu, teknologi digital, yang akan dapat membantu menangani cabaran semasa seperti keterjaminan makanan dan perubahan iklim,” katanya.

Beliau berkata Mimos sebagai agensi R&D utama negara juga sedang melaksanakan inisiatif strategik seperti bekerjasama dengan pemain industri untuk membangun dan menggunakan teknologi baharu yang memenuhi permintaan tenaga global.

Katanya kerjasama itu bukan sahaja meningkatkan kemajuan teknologi tetapi juga memastikan hasil R&D mempunyai aplikasi praktikal, seterusnya dikomersialkan dan memberikan manfaat kepada masyarakat.

Chang berkata Mimos juga menyasarkan untuk mengkomersialkan sebanyak 20 projek R&D menjelang akhir 2025.

Menurutnya, terdapat 15 teknologi telah dibangunkan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan turut dipamerkan di MTP 2024.

Pada majlis itu, Mimos menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan AXICOM dan iSCADA NET serta Perjanjian Lesen Teknologi (TLA) dengan SquareCloud bagi mengimplementasikan teknologi sistem MIMOS Autonomous Chiller Control & Energy Efficiency (Mi-ACE) di bangunan kerajaan dan perniagaan.

Sistem itu dibangunkan bersama Square Cloud memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan IoT tanpa wayar (wireless IoT) untuk merevolusikan sistem penyejuk bangunan yang merangkumi pejabat hingga ruang awam.

Sistem itu mampu meningkatkan prestasi penyejuk, mencapai penjimatan tenaga sebanyak 12 hingga 20 peratus dengan menganalisis data sensor untuk mengoptimumkan operasi selain memastikan keselesaan.

Penyelesaian baharu itu menjadikan proses pemasangan lebih mudah dan meningkatkan pengurusan tenaga bangunan secara signifikan.