LAHAD DATU: Dua anggota penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu cedera dalam kejadian tembak menembak di perairan Kunak pada 8.40 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu Komander Maritim Dr Suzanna Razali Chan berkata Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45, cedera di mata kanan dan Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua-dua belah tangan.

Beliau berkata ketika kejadian, sepasukan anggota Maritim Malaysia yang menaiki Bot Banggi 48 cuba menghampiri sebuah bot enjin sangkut berwarna biru untuk pemeriksaan dalam Op Khas Pagar Laut.

“Apabila pasukan peronda cuba menghampiri, tiga suspek bersenjatakan pistol telah melepaskan empat das tembakan ke arah Maritim Malaysia bagi mengelak bot peronda menghampiri mereka.

“Suspek kemudian berjaya melepaskan diri,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Suzanna berkata empat lagi anggota Maritim Malaysia yang terlibat dalam kejadian itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya Maritim Malaysia telah mengatur gerak Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat, pesawat udara dan Bahagian Perisikan Maritim bersama pasukan daripada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) ke lokasi terbabit bagi menyiasat kes ini dan mengesan kesemua suspek terlibat.