IPOH: Dua beradik maut selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian langgar lari di Kilometer 38.9 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata kemalangan berlaku ketika kedua-dua mangsa berusia 13 dan 17 tahun itu dalam perjalanan ke sekolah dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5.

“Kejadian berlaku sekitar 7.12 pagi apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah Kuala Kangsar menghala ke Ipoh memasuki simpang sebelah kanan menghala ke Taman Desa Salak secara mengejut.

“Akibat tindakan tersebut menyebabkan pelanggaran dengan motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan,” katanya melalui satu kenyataan.

Mohd Khaizam berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat.

Beliau berkata pihak polis masih mengesan pemandu dan pemilik kenderaan pacuan empat roda yang telah melarikan diri dan sehingga kini masih belum membuat laporan.

“Sehubungan itu, pihak polis menyeru kepada orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut supaya menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ahmad Kasidi Che Ghani di talian 014-5073473 untuk membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan maklumat tidak sahih kerana ia boleh mengganggu siasatan.

Sementara itu dalam satu kemalangan berasingan di KM 307.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Arah Selatan, dua kelindan lori maut apabila sebuah lori perabot melanggar belakang lori treler yang membawa muatan tepung dalam kejadian awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata dalam kemalangan itu dua pemandu lori mengalami kecederaan.

“Dua kelindan iaitu lelaki warganegara Bangladesh berumur 26 dan 29 tahun telah disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan),” katanya.

Beliau berkata mereka yang cedera diserahkan kepada pihak KKM manakala mangsa maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Mohd Khaizam dalam kenyataan memaklumkan seorang lelaki ditahan di satu kawasan ladang di Salak Baru, oleh Unit Rondaan Bermotosikal (URB) kira-kira 1.20 tengah hari tadi.

Beliau berkata suspek berusia dalam lingkungan 50-an itu merupakan kontraktor dan pihaknya akan mendapatkan perintah reman esok bagi membantu siasatan.