SEARCH

KPDN kaji akta kekang jualan dadah dalam talian

26 Mar 2024 / 16:28 H.

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengkaji akta-akta sedia ada bagi mengekang aktiviti penjualan dadah dalam talian serta memperkukuh punca kuasa kawalan terutama menerusi platform e-dagang.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) mengakui kewujudan kegiatan jual beli dan transaksi membabitkan dadah menerusi platform e-dagang telah menjadi satu ancaman baharu dalam usaha negara membanteras najis dadah.

“Menyedari hakikat ini KPDN telah dipertanggungjawabkan untuk melihat serta memperhalusi segala akta-akta sedia ada khususnya berkenaan e-dagang bagi mengekang sepenuhnya urusan dadah dalam talian.

“Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) yang bersidang pada hari ini di Bukit Aman bersama agensi berkepentingan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu di Bukit Aman di sini hari ini.

Hadir sama dalam mesyuarat itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata KPDN sebelum ini telah membuat kajian ke atas beberapa akta dan perundangan sedia ada berkaitan e-dagang dan akan mengangkat syor-syor pindaan membabitkan akta berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Jadi dalam perkara (dadah) ini, kita kena bertindak selangkah ke hadapan untuk menanganinya secara berkesan. Kalau kita lihat, dulu kita tidak ada masalah ini (jual dadah di media sosial), tapi sekarang ia menjadi satu bentuk ancaman baharu yang mana bukan sekadar cecair vape yang mengandungi komponen dadah tetapi pemasaran dadah juga dilakukan menerusi media sosial,” katanya. -Bernama

email blast