Proton Saga 2019 dilancar – bermula dari RM32,800

PROTON melancarkan Saga 2019 di satu majlis yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di Kuala Lumpur, beberapa jam yang lalu.

Harganya bermula dari RM32,800 (Standard MT), RM35,800 (Standard AT) dan RM39,800 (Premium AT).

Versi terbaharu model terlaris Proton ini dilengkapi dengan gaya baharu, kotak gear automatik empat kelajuan dan ciri pintar pertama di dalam kelasnya, yang bukan sahaja membezakannya daripada pesaingnya tetapi turut meningkatkan nilainya.

Saga 2019 telah diberikan rekaan terkini yang masih mengekalkan identitinya, tetapi pada masa yang sama meletakkannya dengan selesa di dalam barisan model Proton yang lain.

Model terbaharu ini dilengkapi dengan bumper hadapan baharu yang lebih agresif serta bersepadu dengan lampu nyalaan siang (daytime running light).

$!Proton Saga 2019 dilancar – bermula dari RM32,800

Grilnya turut mempunyai corak infinite weave yang mula diperkenalkan melalui model Proton X70 serta Iriz dan Persona 2019.

Bumper belakangnya sama menonjol sepadan dengan bahagian hadapan. Bumper tersebut dilengkapi dengan spoiler belakang bersepadu baharu dan lencana Proton pula terletak pada bahagian penutup but.

Rim aloi 15 inci (untuk varian Premium AT) menampilkan rekaan baharu.

Pada bahagian dalam pula, perubahan paling ketara dilakukan adalah pada skrin sesentuh tujuh inci terapung (floating touchscreen), juga untuk model Premium AT.

Kemudahan ini, yang digunakan untuk mengawal sistem infotainmen, mempunyai sambungan Bluetooth, penyimpanan dalaman 16GB dan sambungan telefon pintar untuk Android.

$!Proton Saga 2019 dilancar – bermula dari RM32,800

Perubahan lain termasuklah balutan tempat duduk baharu, panel tengah baharu, paparan kombinasi meter baharu dengan bantuan pemanduan Eco (mesra alam) dan turut dilengkapi sehingga tiga slot USB.

Ciri-ciri lain Saga 2019 ini termasuklah pembuka but kawalan jauh, pelindung matahari dengan pemegang kad dan cermin, lampu peta LED dan pemegang genggaman baharu untuk disepadankan dengan bahan yang digunakan di bahagian dalaman kereta.

Dari segi mekanikal, perubahan yang paling besar adalah transmisi automatik empat kelajuan baharu menggantikan CVT yang digunakan sebelum ini.

Proton telah meningkatan prestasi brek, tahap kebisingan, getaran dan kekasaran, serta keseimbangan pemanduan dan pengendalian disamping menambah tahap keselamatan yang berkelas dunia.

Brek yang dilengkapkan pada model ini adalah sama seperti yang dipasangkan pada Iriz dan Persona yang lebih besar, manakala penggunaan kotak gear automatik empat kelajuan baharu memberikan pemandu kawalan manual yang lebih baik semasa pemanduan yang lebih “bersemangat”.

$!Proton Saga 2019 dilancar – bermula dari RM32,800

Ciri-ciri keselamatan pada model ini terdiri daripada brek anti kunci (ABS) dengan agihan daya brek elektronik (EBD) dan bantuan brek (BA) untuk ketiga-tiga varian yang turut dilengkapi dengan airbag hadapan, sensor tempat letak kereta belakang dan poin pemasangan tempat duduk kanak-kanak bertaraf Isofix .

Tambahan pada varian Premium adalah bantuan kawalan cerun (hill hold assist), sensor tempat letak kereta hadapan, kamera undur dan kawalan kestabilan elektronik (ESC) dengan sistem kawalan cengkaman (TCS).

Dengan pertambahan ciri-ciri keselamatan ini, Saga 2019 menjadi satu-satunya kereta yang berharga kurang daripada RM40,000 dilengkapi ESC dan TCS.

Sama seperti Proton X70, Iriz, Persona dan Exora 2019, Saga baharu ini menawarkan pakej Nilai Tambahan.

Terdapat tiga pakej Nilai Tambahan standard yang bermula dengan pakej servis yang menawarkan kos kerja (labour) percuma sebanyak tiga kali atau selama satu tahun.

Pakej kedua ialah pakej dengan kadar pembiayaan serendah 2.98% setahun.

Ketiga ialah pakej insurans yang menawarkan pelbagai manfaat kepada pelanggan yang menginsuranskan pembelian baharu mereka dengan panel Proton.

Dengan pengurangan harga dan nilai ciri-ciri baharu yang diperkenalkan dalam setiap varian, varian Premium AT 1.3L memberi nilai tambahan sebanyak RM3,747 berbanding model sebelum ini.

Bagi varian Standard AT 1.3L pula, nilai penjimatannya bernilai RM2,043, manakala varian Standard MT 1.3L memberi nilai tambahan sebanyak RM2,291.

$!Proton Saga 2019 dilancar – bermula dari RM32,800