ISKANDAR PUTERI: Seramai 7,736 orang direkodkan hilang pekerjaan antara Januari tahun ini sehingga 3 Mac lepas, berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Dewan Undangan Negeri Johor hari ini diberitahu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah (gambar) berkata daripada jumlah itu, 202 individu yang kehilangan pekerjaan melibatkan golongan muda berusia antara 15 hingga 30 tahun.

Justeru, kerajaan menerusi Perkeso telah menjalin kerjasama strategik dengan beberapa agensi melalui penubuhan Pusat Satelit MYFutureJobs bertujuan membantu golongan tersebut yang mencari kerja di kawasan pinggir bandar dan kampung untuk mendapatkan perkhidmatan penempatan pekerjaan.

“Sehingga kini, terdapat 21 buah Pusat Satelit MYFutureJobs di negeri Johor, antaranya Pusat Komuniti Desa (PKD) Tanjung Sedili (Kota Tinggi), PKD Air Merah (Mersing) dan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kampung Semangar Dalam (Kota Tinggi),” kata beliau pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Hairi (BN-Larkin) berkata Unit Strategik Modal Insan Johor sedang menjalankan satu kajian bersama Universiti Teknologi Malaysia berkenaan penawaran dan permintaan guna tenaga di Johor, meliputi pengumpulan data maklumat yang lengkap mengenai jumlah sebenar permintaan guna tenaga di negeri itu.

“Kajian ini akan menjadi satu tanda aras rujukan pihak kerajaan khususnya dan kementerian serta agensi yang terlibat dalam merangka pelan yang meliputi dasar dan polisi kerajaan yang komprehensif serta mesra industri agar Johor terus berdaya saing memakmurkan ekonomi domestik dan antarabangsa,” kata Mohd Hairi.

Di samping itu, beliau berkata Unit Strategik Modal Insan Johor juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Modal Insan Negeri Johor sebagai platform perkongsian dan pengumpulan maklumat berkaitan skop pekerjaan, kemahiran dan peluang industri dengan menghimpunkan agensi-agensi berkaitan pembangunan modal insan dan pemain industri.

Dengan penubuhan jawatankuasa itu, beliau berkata strategi baru akan dapat dirangka dalam membantu institut Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekaligus melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi mengikut kepakaran yang berbeza dan mengisi peluang pekerjaan hasil pelaburan yang diterima Johor. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image