Ahmad Maslan kembali sebagai Timbalan Menteri Kewangan

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan (gambar) dan Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Steven Sim, yang memegang portfolio Timbalan Menteri Kewangan, merupakan antara muka lama yang dilantik menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Ahmad, yang juga Ahli Parlimen Pontian, dilantik semula sebagai Timbalan Menteri Kewangan selepas kali terakhir berkhidmat di bawah portfolio itu ketika di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, Sim yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, sebelum ini menyandang jawatan sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dari 2018 hingga 2020.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, yang juga bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, serta Datuk Arthur Joseph Kurup, yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin, pula masing-masing dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri serta Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Mereka antara 27 timbalan menteri yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini.

Beberapa muka lama dalam pentadbiran kerajaan PH turut dilantik semula namun dengan portfolio berbeza termasuk bekas Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching yang kini menyandang jawatan sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh pula dinamakan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup manakala bekas Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong selaku Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Kesemua timbalan menteri dijadual mengangkat sumpah di Istana Negara pada 3 petang esok. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image