KUALA LUMPUR: Selepas menampilkan prestasi memberangsangkan bersama pasukan negara pada kejohanan Piala Raja Thailand baru-baru ini, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (gambar) kini berada di kedudukan tepat untuk mencabar posisi penjaga gol nombor satu skuad kebangsaan.

Ketangkasan pemain Negeri Sembilan FC itu mengawal gawang pasukan ketika menentang Thailand dan Tajikistan pada kejohanan empat penjuru di Chiang Mai, mendapat pujian secara meluas daripada peminat serta pemerhati bola sepak tempatan.

Berpunca daripada persembahan meyakinkan itu, banyak pihak beranggapan pemain berusia 26 tahun itu layak diberi tanggungjawab sebagai penjaga gol utama skuad Harimau Malaya yang kini lebih kerap digalas penjaga gol berpengalaman Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd Farizal Marlias.

Namun, Ahmad Syihan sendiri enggan mendabik dada atas sumbangan yang diberikan dalam dua aksi di Chiang Mai dengan menyifatkan masih terdapat banyak lagi ruang untuk beliau memperbaiki prestasi sebelum bergelar penjaga gol nombor satu negara.

“Bagi saya, saya hanya nak apa yang saya mampu buat ketika ini, lebih daripada itu saya tak boleh nak cakap. Insya-Allah lah (jadi penjaga gol nombor satu negara), sekarang hanya fokus pada diri sendiri saja,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik pasukan negara tiba di KLIA2 malam semalam selepas menamatkan kejohanan Piala Raja Thailand dengan muncul naib juara apabila tewas 0-3 kepada Tajikistan dalam penentuan sepakan penalti setelah aksi final 90 minit berakhir tanpa jaringan.

Terdahulu, pada aksi separuh akhir menentang Thailand, Ahmad Syihan muncul wira negara dengan menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya termasuk menafikan percubaan Supachok Sarachat dalam penentuan sepakan penalti untuk membantu Malaysia menang 5-3 selepas keputusan terikat 1-1.

Ahmad Syihan diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan bimbingan Ketua Jurulatih, Kim Pan Gon dalam kedua-dua perlawanan itu yang berlangsung di Stadium Ulang Tahun ke-700 Chiang Mai.

Sementara itu, mengulas mengenai masa depannya bersama Negeri Sembilan, Ahmad Syihan berkata ketika ini fokusnya hanya untuk pasukan biarpun mengakui kontraknya bakal berakhir hujung tahun ini.

Bagaimanapun, secara peribadi, beliau yang telah dikaitkan dengan perpindahan ke JDT, berkata dirinya sudah bersedia untuk menghadapi cabaran yang lebih besar.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image