KUALA LUMPUR: Sejajar dengan semangat Keluarga Malaysia yang mengutamakan keterangkuman, kebersamaan dan tanda penghargaan, kerajaan mengumumkan peruntukan bernilai RM332.1 billion bagi 2022 yang merupakan satu lagi belanjawan tertinggi untuk memperkukuh pemulihan negara dengan kemakmuran perniagaan, di sebalik kekangan ruang fiskal, ketidakpastian global yang berterusan dan risiko peningkatan semula kes Covid-19

Dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Parlimen pada Jumaat, Bajet 2022 itu mendokong tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

Peruntukan bajet yang bersamaan dengan 20.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu hampir tiga peratus melebihi RM322.5 bilion yang diumumkan untuk Bajet 2021.

Semua ini mampu dilaksanakan dengan jangkaan peningkatan hasil kerajaan bagi tahun 2022 kepada RM234 billion.

Daripada jumlah berkenaan, RM233.5 bilion atau 70.3 peratus daripada keseluruhan Bajet akan disalurkan sebagai perbelanjaan mengurus (OE) manakala RM75.6 bilion (22.8 peratus) untuk perbelanjaan pembangunan (DE) dan bakinya RM23 bilion kepada Kumpulan Wang Covid-19.

“Sejumlah RM2 billion turut disediakan sebagai simpanan luar jangka,“ kata Tengku Zafrul semasa membentangkan Bajet 2022 bertemakan “Bajet 2022: Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera”.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan akan terus menerima peruntukan terbesar, iaitu RM52.6 bilion (16 peratus) daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan persekutuan, manakala sebanyak RM32.4 billion akan disalurkan kepada Kementerian Kesihatan untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

“Sebagai kerajaan yang mementingkan kesejahteraan rakyatnya, peruntukan bagi sektor kesihatan adalah yang kedua terbesar selepas Kementerian Pendidikan,“ jelas menteri kewangan.

Matlamat Bajet 2022 kekal dengan tiga fokus utama, iaitu rakyat yang sejahtera, perniagaan yang berdaya tahan serta ekonomi yang makmur dan mampan.

Tengku Zafrul menambah Bajet 2022 yang dijajarkan kepada Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) telah diadun sebagai kesinambungan daripada pakej bantuan selain rangsangan ekonomi sebelum ini juga ditambahbaik serta dilengkapi usaha baharu untuk membentuk sebuah bajet yang inklusif, mampan dan seimbang.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image