IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengenal pasti 47 lokasi di Perak yang dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi berlaku kejadian lemas terutama pada musim cuti sekolah dan sambutan Aidilfitri bulan depan.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata kawasan itu kebanyakannya meliputi sekitar daerah Lumut melibatkan sungai, tali air, kolam dan pantai.

“Pada waktu perayaan, orang ramai akan mengambil kesempatan mengunjungi tempat rekreasi untuk melakukan aktiviti riadah seperti berkelah dan bermandi-manda bersama sanak saudara.

“Di Perak terdapat tujuh kawasan berisiko tinggi manakala 35 hingga 40 kawasan berisiko sederhana dengan kawasan berisiko ini melibatkan sekurang-kurangnya lima orang mangsa lemas,“ katanya selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021, Sijil Perkhidmatan Terpuji dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun di sini hari ini.

Menurutnya, bagi memantapkan pengoperasian di kawasan berisiko di negara ini, pegawai bomba bantuan dan Safety Water and Rescue Team (SWART) ditugaskan untuk melakukan rondaan dan menjadi pemerhati di sekitar kawasan terlibat.

“Buat masa ini terdapat empat kawasan di negara ini yang kita sudah lantik pegawai bomba bantuan dan SWART iaitu Tok Bali dan Pantai Cahaya Bulan di Kelantan, Besut di Terengganu serta Lumut di negeri ini.

“SWART akan dibayar RM8 bagi satu jam dan had masa bertugas hanya untuk lapan jam sehari khususnya pada musim tengkujuh dan perayaan,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan keselamatan, orang ramai dinasihatkan mematuhi peraturan dan notis yang ditetapkan di kawasan berisiko tersebut.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image