Bomba perkenalkan LiSA di AKM Sarawak

KUCHING: LiSA atau Life Saving Appliances, antara perkakasan keselamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak yang dipamerkan di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di sini, akan dipasang di beberapa kawasan rekreasi negeri ini untuk membendung kes lemas.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid(gambar) berkata kawasan yang sudah dikenal pasti terletak di daerah Bau dekat sini dan Telok Melano, kira-kira 140 km dari bandar raya ini, memandangkan beberapa kes lemas dicatatkan di tempat berkenaan.

“Di Sarawak kita dah pasang peti LiSA di Miri dan beberapa hotspot yang lain dikenal pasti oleh JBPM Sarawak. Hotspot ini lazimnya berlaku kelemasan iaitu badan air berisiko tinggi ertinya telah berlaku kelemasan melebihi lima kes dalam tiga tahun.

“Kita kenal pasti kawasan tersebut bukan sahaja di tepi pantai dan tali air sungai, tetapi juga di jeram, kolam dan kawasan berisiko untuk orang berkelah, menjalankan aktiviti riadah serta memancing,” katanya ketika ditemui pemberita di tapak (AKM) edisi Sarawak di Dataran Perayaan di sini hari ini.

Mohammad Hamdan berkata peti LiSA yang mempunyai beberapa peralatan seperti jaket keselamatan, peti pertolongan cemas dan tali boleh digunakan oleh orang awam dalam usaha menyelamatkan mangsa sebelum ketibaan penguat kuasa penyelamat ke lokasi kejadian.

Siren akan berbunyi sekiranya peti LiSA dibuka bagi memberi amaran kepada pengunjung manakala balai berdekatan akan menerima notifikasi daripada sistem GPS yang dipasang di peti tersebut.

Dalam pada itu, beliau mengajak orang ramai untuk mengunjungi pameran JBPM sempena jelajah AKM yang berlangsung hingga esok bagi mengetahui panduan serta kesedaran mengenai kebakaran daripada 35 pegawai jabatan bertugas dan membeli alat pemadam api dengan harga yang lebih murah.

Menurutnya, antara aktiviti diadakan JBPM sepanjang jelajah itu ialah pameran kesedaran keselamatan awam, jentera serta peralatan dan jentera antik bomba.

Terdahulu, beliau merasmikan Kempen Keselamatan Kebakaran dan Di Air sebagai kesedaran kepada orang awam mengenai fungsi dan peranan JBPM.-Bernama