KUALA LUMPUR: Dasar monetari perlu mencerminkan keadaan ekonomi dan tidak statik manakala peranan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu dilihat sebagai bebas bagi membolehkan sedikit ruang untuk intervensi apabila perlu, kata seorang ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi dan Penyelidikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) terlalu rendah bagi tempoh yang terlalu lama boleh membawa kepada ketidakseimbangan.

“Orang ramai perlu memahami mengapa terdapat perubahan dalam pendirian dasar monetari dan ia juga perlu mencerminkan keadaan semasa ekonomi.

“Jika anda perasan bahawa apabila aktiviti ekonomi kita jatuh mendadak semasa pandemik Covid-19 pada 2020, kita menyaksikan OPR diturunkan daripada tiga peratus kepada serendah 1.75 peratus dalam tempoh kurang daripada setahun.

“Ini kerana bank pusat mahu membantu ekonomi. Dengan menurunkan kadar, ia bermakna kos barangan menjadi lebih murah dan akan merangsang ekonomi menerusi pelaburan dan penggunaan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata selepas ekonomi mula pulih semula dengan petanda aktiviti ekonomi yang meyakinkan, kadar ini perlu diselaraskan semula.

Pembukaan semula ekonomi serta sempadan antarabangsa sangat membantu dalam merancakkan semula aktiviti ekonomi, katanya, dan sudah tentunya OPR yang berada pada 1.75 peratus tidak seiring dengan tahap aktiviti ekonomi.

“Melihat pada tempoh sembilan bulan pertama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas yang berkembang pada kadar lebih daripada sembilan peratus, OPR perlu dinaikkan untuk bergerak sejajar dengan peningkatan ekonomi.

“Bagaimanapun apabila berlaku malapetaka pada masa akan datang seperti desas desus mengenai kemelesetan, menjadi perkara biasa bagi bank pusat untuk campur tangan dan menurunkan sekali lagi kadar. Ia adalah sifat OPR atau kadar dasar lain di seluruh dunia,” jelasnya.

Mengenai perkembangan lain, beliau berkata orang ramai cenderung untuk mengaitkan OPR yang tinggi dengan kenaikan kos hidup dan nampaknya terdapat salah faham bagaimana ia perlu dilihat.

Orang ramai perlu memahami bahawa OPR yang kekal rendah bagi satu tempoh yang lama tidak elok bagi sesebuah ekonomi.

“Perbincangan mengenai OPR sentiasa berat sebelah iaitu dari sudut pandangan peminjam. OPR memberi kesan kepada semua, bukan hanya kadar berian pinjaman tetapi juga kadar deposit.

“Bagaimana pula dengan mereka yang ingin menyimpan wang dan mencari pelaburan yang menawarkan pulangan baik dan pada masa sama mempunyai toleransi risiko yang munasabah? Deposit merupakan medium pelaburan yang amat baik kepada orang ramai,” katanya.

Orang ramai juga perlu memahami sifat dan pengertian OPR. Beliau berpandangan bahawa orang ramai perlu membezakan antara isu berkaitan celik kewangan dari segi kewangan peribadi mereka.

“Bank pusat telah bersedia. Maksud saya, agensi seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) benar-benar membantu orang ramai yang mengalami masalah kewangan.

“Sekiranya seseorang itu mempunyai kesukaran untuk menyelesaikan hutang, saya berpendapat AKPK adalah platform yang perlu dirujuk dan bagaimana mereka sebenarnya berupaya menyelesaikan masalah kewangan,” katanya.

Tahap kenaikan kadar faedah

BNM amat berhati-hati dalam menguruskan dasar monetarinya berbanding Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah yang lebih agresif.

Mengulas mengenainya, Mohd Afzanizam berkata pelarasan yang pantas oleh AS dan EU adalah daripada kadar dasar yang amat rendah iaitu hampir sifar atau dalam kes di Eropah, mereka dalam rejim kadar faedah negatif dan langkah mereka kini bererti untuk kembali semula dalam lingkungan lebih normal.

“Sudah tentu, pelarasan tersebut perlu disegerakan dan dalam situasi ekonomi AS khususnya, apabila terdapat isyarat bahawa ekonomi berkembang pada kadar yang tidak mampan dan mewajarkan kepada tindak balas dasar sedemikian.

“Bagaimanapun, di Malaysia keadaannya berlainan yang mana pelarasan dasar BNM adalah beransur-ansur. Pelarasan OPR BNM tidak begitu mengejutkan berbanding Rizab Persekutuan AS yang terlalu agresif. Pada masa ini, masih terdapat ura-ura bahawa AS mungkin meningkatkan lagi kadar faedah,” katanya.

Beliau berkata OPR di Malaysia telah bergerak dalam jajaran 3.00-3.25 peratus ketika ekonomi tidak mengalami kejutan mahupun apa-apa kemelesetan seperti yang disaksikan sebelum tempoh Covid-19 pada 2009.

“BNM kini berusaha untuk kembali kepada kadar normalnya. Pada masa ini, kita berada pada 2.75 peratus, barangkali 25 mata asas lagi mungkin tidak terlalu membebankan ekonomi dari segi kesannya.

“Ia juga merupakan langkah baik dan bijak untuk BNM membina ruang dasarnya memandangkan kita membicarakan mengenai risiko kemelesetan yang akan datang di pasaran maju. Sekiranya terdapat keperluan untuk campur tangan dan sekali lagi mengurangkan kadar dasar, sekurang-kurangnya ia mempunyai lebih banyak sumber untuk berbuat demikian berbanding mengekalkan OPR pada tahap rendah kerana keupayaan untuk campur tangan akan menjadi terbatas,” katanya.

Mengenai kadar paling ideal, Mohd Afzanizam berkata ia amat subjektif, namun berdasarkan standard terdahulu, 3 peratus hingga 3.25 peratus disifatkan wajar.

Menangani Inflasi

Menyentuh mengenai langkah menangani inflasi, Mohd Afzanizam berkata terdapat banyak pilihan dasar dan salah satunya adalah dasar monetari yang ditadbir oleh bank pusat.

Beliau berkata bank pusat akan melihat inflasi dalam bentuk agregat, antaranya ialah dinamik permintaan dan sifat ketidakseimbangan rantaian bekalan untuk menilai keadaan.

Selain itu, keadaan permintaan adalah kukuh tahun lepas berikutan pertumbuhan yang tinggi dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan perbelanjaan pengguna persendirian meningkat pada kepantasan dua digit memberikan rasa bahawa inflasi tarikan permintaan telah menjadi lebih berleluasa.

Apabila ia melibatkan syarat-syarat permintaan, dasar monetari boleh memainkan peranannya untuk benar-benar menurunkan inflasi, katanya.

Mohd Afzanizam berkata pilihan lain adalah peranan kerajaan seperti mengawal subsidi pengangkutan untuk melihat penyelewengan dalam kalangan perniagaan seperti menyorok/menyimpan bekalan dan manipulasi harga.

Secara umum, inflasi turun secara beransur-ansur kepada 3.8 peratus pada bulan Disember daripada empat peratus pada bulan sebelumnya, justeru beliau percaya bank pusat sebenarnya telah menunjukkan kredibiliti dalam membantu mengawal inflasi.

“Bagaimanapun, saya berpendapat perbelanjaan pengguna masih kukuh dengan melihat arah aliran perbelanjaan pengguna di Malaysia dengan OPR pada 2.75 peratus. Kebimbangan saya...rakyat mungkin boros berbelanja dan ia mungkin menyebabkan peningkatan hutang isi rumah” katanya.

Beliau juga berkata bahawa inflasi pada asasnya adalah isu yang sangat kompleks dan satu dasar tertentu sahaja tidak boleh menangani sepenuhnya.

Cara masyarakat menyesuaikan diri adalah berbeza-beza dengan persekitaran kadar baharu tersebut, bergantung pada tahap keberhutangan mereka untuk menghadapi situasi kos pinjaman yang lebih tinggi, katanya.

Mengenai dasar untuk meningkatkan gaji bagi menghadapi kenaikan kos sara hidup, beliau berkata ia memerlukan pertimbangan kerana meliputi cara pendidikan, dasar perindustrian, membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang lebih berkualiti tinggi, memastikan rejim cukai mesra perniagaan dan lebih penting lagi untuk membenarkan keadaan perniagaan yang boleh diramal.

“Secara keseluruhannya, ia adalah mengenai cara untuk menjadi lebih baik dan lebih makmur, justeru kita memerlukan pelbagai dasar supaya berkesan dalam pelaksanaan,” katanya. -Bernama