KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad(gambar) meminta kerajaan menyemak semula Bajet 2022, belanjawan terbesar dalam sejarah negara.

Beliau berkata banyak peruntukan dalam belanjawan itu boleh dikurangkan sekali gus beban hutang negara pada masa depan menjadi lebih ringan.

“Saya sedar wang yang banyak diperlukan bagi mengatasi krisis yang dihadapi oleh negara tetapi pada masa yang sama, kerajaan perlu berhati-hati supaya perbelanjaan kerajaan dikurangkan dan beban hutang tidak dihempas ke atas belakang generasi akan datang,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata perbelanjaan kerajaan boleh dikurangkan dalam bidang pendidikan, pertanian dan telekomunikasi dengan menggunakan teknologi baharu serta penswastaan.

Dr Mahathir memberi contoh selepas sektor telekomunikasi diswastakan, kerajaan mengambil alih teknologi terkini yang akan memerlukan berbilion ringgit untuk dibekal kepada pelanggan.

“Apa perlunya kerajaan terlibat dalam khidmat ini. Tentulah lebih baik diserah kepada syarikat telekomunikasi yang sekian lama membekalkan sistem komunikasi dalam negara,” katanya.

Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula mencadangkan kerajaan agar mempertimbang pelaksanaan cukai kemewahan bagi setiap pembelian barangan dan perkhidmatan mewah bukan penting yang melebihi harga tertentu.

“Barangan mewah yang boleh dikenakan cukai ialah seperti kereta super, kapal layar, jet peribadi, barang kemas bernilai tinggi dan barangan mewah lain,” katanya.

Beliau berkata ini dapat membantu meningkatkan hasil kerajaan yang terjejas di samping mengurangkan jurang ekonomi antara golongan berpendapatan rendah dan tinggi.-Bernama