KUALA LUMPUR: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang jurukimpal warga Bangladesh yang mayatnya ditemukan dalam keadaan tangan dan kaki diikat di tepi Jalan Bestari Jaya-Rawang, tahun lepas.

Buruh kilang besi Md Mojibur Rahman, 30, yang juga warga Bangladesh dan penganggur warga tempatan K. Visvanathan, 57, masing-masing mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 5 April ini untuk mendapatkan laporan kimia serta bedah siasat.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas kenalan mereka, Khalek Sheikh, 41, di tepi Jalan Bestari Jaya-Rawang, Batu Arang di sini antara 9 malam hingga 9.40 malam, 29 Dis 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan mayat seorang lelaki ditemukan di tepi Jalan Bestari Jaya-Rawang dalam keadaan tangan dan kaki diikat serta mempunyai kesan cedera di kepala.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan cedera parah di kepala dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul. -Bernama