KUALA KRAI: Tiga remaja warga Thailand lemas dalam satu kejadian di Sungai Kelantan, berhampiran Pengkalan Feri Kampung Pasir Kelang, di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Suzaimi Mohammad berkata mangsa pertama dikenali sebagai Nikallia, 15, telah ditemukan oleh orang penduduk kampung pada 6.30 petang, manakala mangsa kedua dikenali sebagai Nihadle, 13, ditemukan pada 9 malam.

Bagaimanapun beliau berkata seorang lagi mangsa dikenali sebagai Kunabeela, 15, masih belum ditemui.

“Hasil siasatan mendapati, sebelum kejadian ketiga-tiga mangsa yang bersaudara itu bersama dua lagi saudara mereka, telah pergi memancing di tepi jeti pengakalan feri tersebut.

“Pada 4.30 petang, tiga mangsa terlibat telah pergi mandi di sungai berdekatan dan telah dibawa arus sungai hingga tidak dapat dilihat. Saudara mereka yang melihat kejadian tersebut telah meminta bantuan orang kampung untuk menyelamat mangsa,” katanya.

Suzaimi berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan polis dan bomba telah digerakkan pada 5.30 petang tadi.

“Operasi ditangguhkan malam ini dan akan diteruskan bermula 7 pagi esok. Selain polis dan bomba SAR akan turut melibatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk setempat,” katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image