ISKANDAR PUTERI: Pengisytiharan Hab Perdagangan Koko di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Pelabuhan Pasir Gudang (PPG) di negeri ini, diharap dapat menarik lebih ramai pelabur asing untuk melabur di Malaysia, sekali gus menambah pendapatan negara.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata hab itu diasaskan berdasarkan model hab perdagangan koko di luar negara seperti Pelabuhan Amsterdam di Belanda dan Pelabuhan Singapura.

Katanya hab itu diwujudkan untuk memudahkan proses pengimportan biji koko dan membantu dalam menyelesaikan isu-isu kualiti yang boleh menyebabkan penahanan konsainan.

“Kedua-dua hab ini turut dilengkapi dengan infrastruktur yang lengkap, mempunyai tenaga kerja yang mahir dan mencukupi serta jaringan domestik yang sangat baik berikutan koko telah lama menjadi antara komoditi utama yang dikendalikan oleh pelabuhan tersebut.

“Hab Perdagangan Koko ini telah dilengkapi dengan sebuah makmal fasilitasi bertujuan untuk menyediakan sebuah pusat saringan bagi mengesan perosak buah koko dan khidmat verifikasi pematuhan keperluan pengimportan biji koko, menjalankan aktiviti pemantauan serta pengesanan projek berkaitan koko.

“Makmal ini telah siap diubah suai pada Ogos lepas,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengisytiharan Hab Perdagangan Koko Malaysia di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) Rahimah Majid dan Ketua Pengarah LKM Dr Ramle Kasin.

Wee berkata makmal itu untuk membantu mendapatkan biji koko yang berkualiti dan hab tersebut berpotensi untuk mempercepatkan pemprosesan biji koko di Malaysia.

“Setakat ini, hanya Johor (yang ada hab) dan kita akan ambil kira untuk buka di tempat lain,” katanya.

Beliau berkata rentetan daripada pengisytiharan hab tersebut, LKM akan terus mengorak langkah ke hadapan dengan meneroka lagi potensi sektor hiliran koko di Johor.

Katanya satu kajian kemungkinan pembangunan ekosistem kondusif industri hiliran koko yang bakal dijenamakan sebagai CocoaNexus @ Iskandar Malaysia sedang dilaksanakan.

“Menerusi kajian ini, kementerian dan LKM yakin ia bakal menarik minat sekali gus meningkatkan peluang pelaburan dari dalam dan luar negara untuk melabur dalam industri koko. Diharapkan industri koko di Malaysia akan terus berkembang maju dan berdaya saing di peringkat tempatan dan global,” katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image