SEREMBAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjelaskan rakyat Indonesia yang ditahan menerusi operasi penguatkuasaan di Nilai Spring pada 1 Feb lepas dipercayai tidak berniat untuk pulang ke negara asal sebaliknya ingin terus berada di negara ini walaupun tanpa dokumen sah.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud (gambar) berkata ia berdasarkan pemeriksaan terhadap penempatan tersebut yang mendapati adalah sebuah perkampungan yang telah lama wujud di dalam hutan serta berada di kawasan tidak rata dan berpaya.

“Akses ke kawasan itu perlu berjalan kaki sejauh 1.2 kilometer. Kawasan itu juga dikelilingi besi serpihan jerat dan anjing liar, mempunyai pelbagai kemudahan seperti beberapa unit generator dan sekolah yang menggunakan silibus pendidikan negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata demikian bagi mengulas laporan media bertajuk ‘Suruhanjaya Indonesia (Komisi Nasional Hak Asasi Manusia/Komnas HAM) kecam serbuan pekerja asing di Nilai Spring’.

Beliau menjelaskan dalam operasi itu, seramai 68 warga Indonesia diperiksa dengan 67 daripadanya berusia lingkungan dua bulan hingga 72 tahun ditahan berikutan tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa di negara ini dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Dalam pada itu, Khairul Dzaimee berkata operasi penguatkuasaan berkenaan serbuan itu tidak terkait dengan pelaksanaan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) yang bermula pada 27 Jan lepas.

Beliau berkata RTK 2.0 bertujuan memastikan warga asing yang berada dan bekerja dalam negara secara tidak sah diregularisasi untuk bekerja secara sah dan pelaksanaan itu juga bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam negara serta menguatkuasakan undang-undang imigresen.

“Dalam hal ini, pendatang tanpa izin seharusnya mengambil peluang menyertai program RTK 2.0 ini untuk terus berada di Malaysia secara sah,” katanya.

Menurut Khairul Dzaimee, berkenaan aspek kebajikan tahanan di depot tahanan imigresen, jabatan itu sentiasa memastikan kesemua aspek kebajikan tahanan terjaga dengan mematuhi piawaian yang ditetapkan termasuk kebajikan kepada tahanan wanita dan kanak-kanak.

Katanya perkara itu juga antara agenda perbincangan semasa pertemuan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Menteri Tenagakerjaan Ida Fauziyah serta Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Yasonna H. Laoly pada 31 Jan lepas.

Beliau berkata kemasukan dan keberadaan warga asing di negara ini tertakluk kepada dasar, peraturan dan perundangan termasuk keperluan memiliki dokumen perjalanan yang sah, mematuhi tempoh keberadaan yang dibenarkan serta pematuhan kepada syarat-syarat pas dikeluarkan.

Katanya perkara itu dilaksanakan dengan teratur bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara tidak terancam dan jabatan itu juga sedang mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal pada kadar segera. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image