JKKP Selangor siasat kes jurutera maut jatuh bumbung kilang

SHAH ALAM: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor menyiasat kes seorang jurutera yang maut selepas terjatuh dari bumbung sebuah kilang pembuatan logam di Jalan Kebun, Kampung Jawa, Klang dekat sini, Rabu lepas.

JKKP Selangor dalam kenyataan memaklumkan lelaki berusia 23 tahun itu terjatuh dari ketinggian 20 meter dan siasatan dijalankan selepas menerima maklumat melalui sistem atas talian MyKKP.

“Hasil siasatan awal, mangsa didapati merupakan seorang jurutera syarikat kontraktor projek pemasangan sistem solar di kilang tersebut. Ketika kejadian, mangsa dan rakannya telah naik ke bumbung lut sinar itu untuk membuat pemerhatian dan didapati telah jatuh dari bumbung itu,” menurut kenyataan itu.

Menurut JKKP Selangor, mangsa telah diberikan bantuan kecemasan namun gagal dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik.

Susulan siasatan tersebut, JKKP Selangor telah mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu tempat kejadian kepada pihak majikan dan Notis Larangan Serta-merta juga dikeluarkan di atas kegagalan pihak majikan mengadakan sistem kerja selamat untuk bekerja di tempat tinggi dengan tidak menyediakan tali keselamatan.

JKKP Selangor memaklumkan turut dikeluarkan adalah Notis Pembaikan bagi kegagalan majikan mengawal pergerakan keluar masuk pelawat (pekerja kontrak) dan tidak mengeluarkan permit untuk kerja (PTW) untuk melakukan kerja tersebut.

Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan pihak bertanggungjawab ke atas kemalangan tersebut.

“JKKP Selangor akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Kejadian seumpama ini boleh dielak jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” menurut kenyataan itu.-Bernama