KUALA LUMPUR: Pemenang kepada Cabaran Cyber Warzone: Capture The Flag di Pameran Persidangan dan Pameran Keselamatan Siber (CYDES) 2023, akan mewakili Malaysia di Cyber SEA Games 2023, yang dijadualkan akan berlangsung di Bangkok tahun ini.

Ketua Operasi Siber Velum Labs Sdn Bhd (Velum Labs) Mohd Azli Sastero (gambar) menyatakan keterujaan beliau terhadap Cyber SEA Games, yang merupakan pertandingan tahunan siber yang menyatukan peminat permainan siber di bawah usia 30 tahun, dari negara-negara anggota ASEAN.

“Pasukan (di CYDES), setiap satunya terdiri daripada empat ahli dari universiti tempatan, telah menunjukkan kemahiran masing-masing dari awal pagi sehingga lewat malam, berhadapan dengan lebih 20 senario luar dari kebiasaan, yang menyerupai kepada pelbagai cabaran dunia keselamatan siber dunia sebenar,” katanya kepada Bernama hari ini.

Juara juga akan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, tempat kedua RM8,000 dan pasukan di tempat ketiga RM6,000. Sebagai tambahan satu hadiah khas RM3,000 akan diberikan kepada pasukan yang berjaya menyelesaikan dengan baik satu cabaran sukar tertentu, ketika acara tersebut.

Mohd Azli menjelaskan pertandingan itu memberikan Velum Labs, anak syarikat Kumpulan Sapura, dengan platform bernilai untuk mengenali dan memupuk bakat berpotensi yang memiliki minat dalam industri keselamatan siber.

“Kami melihat perkara ini sebagai satu pelaburan dalam memupuk bakat muda dan membina pemahaman mereka mengenai tuntutan dan keperluan industri keselamatan siber,” katanya.

Terdahulu, Velum Labs dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam perkongsian model perisikan dan pelaksanaan siber, bagi secara strategiknya mengukuhkan, mempromosi dan pembangunan keupayan siber negara.

CYDES 2023, anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN), NACSA, dan Alpine Integrated Solution Sdn Bhd, berlangsung dari hari ini hingga 13 Julai di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC). -Bernama