MELAKA: Ekonomi di Melaka terus menunjukkan pemulihan apabila mencatat pertumbuhan 2.0 peratus dengan nilai RM41.8 bilion bagi 2021 berbanding RM41.0 bilion pada 2020.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perkembangan positif ini diterajui oleh sektor perkhidmatan iaitu 48.8 peratus dan diikuti sektor pembuatan (37.9 peratus) dan pertanian (10.9 peratus).

“Walaupun masih belum melepasi nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) prapandemik 2019 iaitu 3.1 peratus, kita faham memandangkan tahun lepas masih ada kawalan-kawalan aktiviti ekonomi terutamanya sektor pelancongan dan ia masih belum pulih sepenuhnya.

“Sebab itulah negeri yang bergantung kepada sektor pelancongan (untuk perkembangan ekonomi) tidak seperti negeri lain dan di Melaka, lebih kurang 80 peratus sumbangan dan kebergantungannya adalah daripada sektor perkhidmatan,“ katanya.

Beliau berkata pada pemberita selepas menyampaikan Taklimat Pencapaian KDNK Negeri Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Katanya berdasarkan rekod yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), prestasi KDNK per kapita Melaka juga adalah seiring dengan negeri-negeri lain yang meningkat berbanding 2020.

Jelasnya KDNK per kapita yang dicatatkan oleh Melaka adalah sebanyak RM47,799 melebihi paras nasional sebanyak RM47,324.

“Malah dalam tempoh 2019 sehingga 2021, nilai KDNK per kapita Melaka sentiasa melebihi paras nasional dan kekal berada di kedudukan keenam sepanjang tempoh berkenaan,“ katanya.

Tambahnya Melaka juga berpotensi mencapai tahap kecergasan ekonomi yang lebih baik berbanding 2021 berdasarkan aktiviti pelancongan domestik terutama selepas sempadan negeri dan negara dibuka.

“Melihat kepada tempahan perkhidmatan penginapan yang sentiasa tinggi terutama pada hujung minggu, kita jangkakan bilangan pelancong domestik akan meningkat secara drastik.

“Jika ia berterusan sehingga hujung tahun ini, maka kita menjangkakan satu pemulihan dan corak pertumbuhan yang mungkin lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya,“ katanya.-Bernama