PUTRAJAYA: Pengurusan harga barang di pasaran yang dilihat memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat merupakan antara tumpuan utama Kementerian Ekonomi, kata Menterinya Rafizi Ramli (gambar).

Beliau berkata selaku kementerian yang bertanggungjawab menguruskan ekonomi negara, ada dua perkara berkaitan ekonomi yang amat penting dalam kalangan rakyat pada masa ini iaitu isu harga barang dan gaji.

“Ada orang bertanya kenapa Kementerian Ekonomi bercerita harga barang sebab selalunya kementerian ini sibuk dengan cerita projek besar, unjuran 10 tahun dan sebagainya.

“Walaupun kerja ini nampak selalunya dipermainkan, inilah yang ada kesan paling besar kepada rakyat,“ katanya dalam sidang media berhubung penerbitan Indeks Harga Pengguna (IHP) Disember 2022, di sini hari ini.

Beliau berkata sekiranya pihak pembangkang mahu terus memainkan isu inflasi dan harga barang, itu terpulang kepada penilaian masing-masing.

“Saya yakin rakyat kita cerdik. Mereka tahu angka, boleh bandingkan apa yang berlaku setahun dua yang lepas.

“Sebab itu usaha untuk kita menguruskan harga barangan itu perlulah berterusan dan perlu berkomunikasi dengan rakyat dari satu bulan ke satu bulan supaya rakyat tahu kita sedang mencuba yang terbaik dengan segala yang kita ada. Cuma ada perkara yang boleh dibuat cepat, ada yang ambil masa,“ katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image