KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) hari ini bersetuju untuk memperkukuhkan pelaksanaan MyMudah di semua kementerian, agensi persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta persatuan perniagaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob(gambar) berkata melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) kerajaan akan terus berusaha untuk memodenkan peraturan berkaitan perniagaan bagi melonjakkan produktiviti dan daya saing negara.

Menurutnya, mesyuarat itu juga bersetuju merancakkan lagi program uji kaji peraturan yang dikelola oleh Unit MyMudah dengan sasaran penyelesaian isu dalam tempoh 60 hari berbanding 6 hingga 12 bulan sebelum ini.

“Temuduga pekerja asing akan dilaksanakan di negeri-negeri berbanding hanya di pusat sehenti (OSC) Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya.

“Kerajaan akan memperkasakan OSC yang melibatkan semua kementerian dan agensi yang berkaitan proses kemasukan pekerja asing,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja mahir yang serius dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) kerajaan secara prinsipnya telah bersetuju untuk melaksanakan “Program Train & Place untuk Jurutera & Juruteknik” kepada 1,000 jurutera dan 1,000 juruteknik serta memperbaiki dan mempercepat mekanisme pengambilan ekspatriat dan pekerja asing.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan menyelaras dengan Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) untuk segera menangani isu kekurangan tenaga kerja ini,” tambahnya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image