ALOR SETAR: Seorang kontraktor hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menggunakan penyata akaun bank syarikat palsu bagi mendapatkan tender pembersihan awam bernilai RM1.7 juta, tiga tahun lalu.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah, bagaimanapun menetapkan 19 Feb depan untuk menjatuhkan hukuman terhadap Ronie Maharudin, 46 tahun.

Ronie dituduh menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik syarikat Kembar Mega Enterprise bagi bulan Oktober, November dan Disember 2018 dalam permohonan tender berkenaan.

Tertuduh didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai yang dokumen itu adalah palsu dan dia dituduh melakukan perbuatan tersebut di Pejabat E-Idaman Sdn Bhd, No.163 & 164 Bandar Baru Stargate Jalan BSG 4, Lebuhraya Sultanah Bahiyah di sini, pada 22 Feb 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama iaitu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Fauzee Azizan memohon mahkamah mengenakan wang jaminan yang bersesuaian dengan nilai kontrak berjumlah RM1.7 juta.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Farid Wajdi Hanif memohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah bawah RM10,000 kerana tertuduh kini tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menanggung tiga anak serta ibu bapanya.

Mahkamah kemudian membenarkan Ronie diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan.

Tertuduh membayar wang jaminan itu. -Bernama