MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka merampas 500 tan baja dan gula bernilai kira-kira RM4.5 juta dalam serbuan di sebuah gudang penyimpanan tidak berlesen di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai di sini hari ini.

Pengarahnya Norena Jaafar berkata serbuan kira-kira 11 pagi yang merampas 200 tan baja bernilai lebih RM3.6 juta dan 300 tan gula pasir bernilai RM855,000 itu dilakukan hasil intipan sejak seminggu lepas.

Beliau berkata gudang tersebut merupakan sebahagian daripada stor sebuah syarikat pemborong bekalan barangan kawalan seperti gula dan tepung yang turut beroperasi di kawasan sama.

“Syarikat berkenaan mempunyai gudang lain selain di premis ini tetapi siasatan awal mendapati gudang tersebut tidak mempunyai permit dan lesen untuk menyimpan barangan kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Berdasarkan rekod, gudang penyimpanan berlesen syarikat pemborong itu hanya dibenarkan menyimpan bekalan barang kawalan iaitu gula, minyak dan tepung sebanyak 50 tan bagi setiap barangan,“ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Norena berkata siasatan awal mendapati gula yang dirampas bukan dalam keadaan yang baik termasuk dipercayai telah ditenggelami banjir sebelum dibeli pada harga lebih murah.

Beliau berkata bekalan gula itu juga akan dijual semula pada harga rendah kepada pihak industri khususnya sektor makanan dan minuman serta pembuatan makanan.

Menurut Norena baja tersebut pula didakwa pemilik syarikat itu dibeli untuk kegunaan sendiri bagi tanaman yang diusahakannya.

“Berdasarkan pemeriksaan, baja yang dirampas merupakan bekalan di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan dan bukan untuk dijual kepada orang awam. Baja ini adalah dalam bungkusan 20 dan 50 kilogram dan kita masih menyiasat dari mana bekalan diperoleh,“ katanya.

Beliau berkata ketika serbuan, terdapat dua warga asing berusia 25 dan 30 tahun yang merupakan penjaga gudang berkenaan dan anggota KPDNHEP telah merekodkan keterangan mereka bagi membantu siasatan.

Katanya pihaknya juga akan memanggil pemilik syarikat pemborong itu iaitu warga tempatan berusia 60 tahun untuk siasatan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image