JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir kilat di dua daerah di Johor meningkat kepada 222 orang setakat 4 petang ini, berbanding 194 orang pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataannya memaklumkan, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Batu Pahat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Suloh yang menempatkan 97 mangsa daripada 21 keluarga.

JPBD bagaimanapun memaklumkan sebuah PPS di Pontian telah ditutup, berikutan kesemua mangsa yang ditempatkan di Sekolah Agama Kayu Ara Pasong telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, berikutan banjir mulai surut.

“Jumlah itu menjadikan keseluruhan sebanyak empat PPS masih beroperasi setakat ini.

“Dua PPS di Batu Pahat adalah Sekolah Agama Seri Bengkal dan SK Peserai, manakala di daerah Pontian iaitu Pusat Kokurikulum Johor, Sungai Tempayan, masih dibuka sejak semalam,” menurut kenyataan jawatankuasa itu.

Menurut JPBD, sebanyak tujuh kawasan di Johor dilaporkan masih terjejas akibat banjir kilat berikutan hujan lebat bermula pada 6.30 pagi, semalam.

Antara kawasan terjejas ialah Kampung Seri Bengkal; Kampung Bintang Peserai; Kampung Dalam; Kampung Sungai Suloh; Kampung Sungai Suloh Besar dan Kampung Patah Pedang di Batu Pahat serta Kampung Sungai Mulih, Pekan Nenas di Pontian.

Sementara itu di Batu Pahat, kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM800,000 untuk penyelenggaraan saliran perparitan, serta pembinaan semula jambatan runtuh.

Ahli Dewan Undangan Negeri Semerah Mohd Fared Mohd Khalid berkata ia melibatkan penyelenggaraan saliran perparitan di Sri Bengkal, Parit Yaani dan pembinaan semula jambatan yang runtuh akibat hujan lebat di Kampung Parit Baru, Parit Raja, baru-baru ini.

Bercakap kepada pemberita di sini, beliau juga akan mencadangkan penyelenggaraan saliran perparitan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Semerah, terutamanya melibatkan kawasan rendah yang mudah dinaiki air dan mudah terjejas akibat banjir kilat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri itu berkata selain itu, akan turut dibincangkan untuk dilaksanakan ialah pembersihan parit, pembaikan dan penyelenggaraan pintu air serta pam air.

“Memandangkan bajet untuk kerja-kerja berkenaan adalah agak besar, kita akan berbincang dahulu dengan pihak kerajaan negeri (Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi) untuk melaksanakannya,” kata beliau.

Terdahulu, beliau turut menyertai lawatan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Peserai, dekat sini, hari ini.-Bernama