KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited untuk mempercepat kajian rangka kerja pengurusan kandungan dalam talian bagi menangani kandungan bersifat provokatif perkauman dan ketidakharmonian dalam kalangan rakyat di negara ini.

Pengerusi Interim MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata Malaysia berdepan peningkatan hantaran kandungan dalam talian berbaur hasutan dan memudaratkan.

“Ia adalah wajar untuk kerangka peraturan itu dikaji susulan situasi dalam talian semasa yang menggalakkan penyebaran kandungan yang memudaratkan keselamatan dan keharmonian negara, termasuk elemen ideologi melampau dan berita palsu.

“Kajian kerangka peraturan itu merangkumi aspek berkaitan pelesenan, kesesuaian hukuman sedia ada serta keperluan memperkenalkan undang-undang baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Salim berkata negara di rantau ini seperti Indonesia dan Singapura serta Australia telah memperkenalkan pengawasan kawal selia secara langsung ke atas penyedia perkhidmatan media sosial, sekali gus meletakkan akauntabiliti dan tanggungjawab yang lebih besar ke atas mereka dalam menguruskan kandungan memudaratkan.

“Perubahan penting ini diperkenalkan untuk mengekang tingkah laku melampau dan peningkatan kandungan provokatif dalam talian,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak untuk terus menghormati dan menerima kepelbagaian etnik, budaya, kepercayaan, bahasa di Malaysia dan institusi diraja.-Bernama