KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menahan empat pemandu yang menjalankan kegiatan ‘kereta sapu’ dengan mengambil penumpang di Terminal Bas Lembah Sireh, di sini dalam satu operasi penguatkuasaan selama enam jam bermula pukul 3 pagi tadi.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah(gambar berkata Ops Sapu itu melibatkan penyertaan 22 pegawai JPJ yang menyamar sebagai penumpang bas yang baru sampai dari Kuala Lumpur.

Beliau berkata seorang pemandu ‘kereta sapu’ bertindak agresif dengan memecut keretanya ketika cuba ditahan pegawai JPJ, bagaimanapun pemandu lelaki berusia 50-an itu berjaya ditahan di Bulatan Pasir Pekan, Tumpat, selepas dikejar sejauh 11 kilometer.

“Kita dapati pemandu kereta sapu biasanya akan ‘berunding’ dengan penumpangnya terlebih dahulu sebelum persetujuan mengenai tambang dicapai,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ Kelantan, di sini, hari ini.

“Mereka (kereta sapu) biasanya mengambil kesempatan dengan mengenakan caj tambang lebih kerana penumpang biasanya tidak mahu menunggu lama di terminal untuk pengangkutan awam,“ tambahnya.

Mohd Misuari berkata empat notis saman telah dikeluarkan atas kesalahan salah guna lesen kereta motor di bawah Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan jika disabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM1,000 dan tidak lebih dari RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image