ALOR SETAR: Seorang pemborong getah didenda RM250,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, kerana memberikan suapan berjumlah RM589,450 kepada Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), antara Ogos 2021 hingga Februari lepas.

Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Th’ng Kean Kai, 33, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan dan mahkamah turut memerintahkannya menjalani hukuman penjara 12 bulan, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah juga melucutkan hak ke atas wang tunai RM589,450 itu dan memerintahkan wang berkenaan dimasukkan ke dalam Perbendaharaan Negara Malaysia.

Sementara itu, mahkamah juga melepaskan dan membebaskan tertuduh dengan pertuduhan asal.

Mengikut pertuduhan pilihan itu, Th’ng dituduh memberikan suapan berjumlah RM589,450 kepada seorang Pegawai SPRM yang bertindak sebagai ejen provokasi, sebagai balasan baginya tidak menjalankan tindakan membawa tertuduh kepada seksaan undang-undang kerana kesalahan khianat ke atas arus elektrik.

Th’ng dituduh melakukan perbuatan itu di Bandar Sungai Petani antara 26 Ogos 2021 dan 28 Feb 2022 yang sekali gus didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun, hendaklah dipenjara selama tempoh yang boleh sampai seperempat daripada tempoh penjara yang lama sekali ada diperuntukkan bagi kesalahan itu atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh merupakan seseorang yang menjalankan aktiviti mencuri arus elektrik bagi tujuan melombong mata wang kripto.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) bekerjasama dengan SPRM untuk mengesan dan membanteras aktiviti mencuri arus elektrik bagi tujuan melombong mata wang itu bermula Februari 2021 dan pegawai SPRM berkenaan menyamar sebagai seorang Penyelia dari Cawangan ‘Special Engagement Against Losses’ atau SEAL daripada Ibu Pejabat TNB.

Pada 21 Ogos 2021, Pegawai SPRM itu menerima panggilan daripada Pengurus Zon Wilayah Utara SEAL TNB memaklumkan beliau telah dihubungi oleh seorang lelaki Cina yang memperkenalkan diri sebagai Steven dan memaklumkannya ada menjalankan aktiviti mencuri arus elektrik dengan tujuan melombong ‘bitcoin’.

Kemudiannya tertuduh menyerahkan wang tunai masing-masing berjumlah RM42,000, RM28,000, RM87,600, RM121,250, RM215,800 dan RM94,800 pada 26 Ogos 2021, 27 Ogos 2021, 29 Sept 2021, 8 Nov 2021, 12 Jan 2022 dan 28 Feb 2022 kepada pegawai SPRM itu, yang berlaku di sekitar bandar Sungai Petani.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib manakala Th’ng diwakili Peguam Tengku Hezrul Anuar Tengku Abdul Samad.

Dalam pada itu, di mahkamah sama dua kontraktor didenda selepas mengaku bersalah memalsukan penyata akaun bank syarikat, untuk melayakkan mereka mendapatkan tender pembersihan awam pada 2019.

Harmi Thamri menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Zahir Hussain, 52, dan Mohd Nasir Ayob, 38.

Mohamad Zahir dijatuhkan hukuman denda RM80,000 atas dua pertuduhan iaitu setiap satu pertuduhan itu dia didenda RM40,000 manakala Mohd Nasir didenda RM40,000 atas satu pertuduhan.

Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua mereka dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mohamad Zahir telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun CIMB Bank dan Bank Muamalat bagi bulan Oktober hingga Disember 2018, dalam permohonan tender Penswastaan ​​Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara yang dia mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu palsu.

Mohamad Zahir didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Wisma Idaman, Environment Idaman (Kedah & Perlis) di sini antara 13 Jan hingga 22 Feb 2019, bagi pertuduhan pertama manakala bagi pertuduhan kedua pula pada 19 Jan 2019.

Mohd Nasir dituduh melakukan perbuatan sama dengan menggunakan penyata akaun Public Islamic Bank dalam permohonan tender sama di Wisma Idaman antara 13 Jan hingga 14 Jan 2019.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rehab Abdul Shukur manakala kedua-dua tertuduh itu diwakili Peguam Mohd Samsul Suhaimi.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image