KUALA LUMPUR: Pemilihan PKR 2022 peringkat negeri secara fizikal di Sabah, Sarawak dan Perak berakhir hari ini, dengan keseluruhannya berlangsung dalam keadaan terkawal serta lancar dan hanya mengalami masalah teknikal yang minimum.

Di SABAH, Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah Mustapha Sakmud berkata proses pengundian secara fizikal bagi pemilihan PKR di 26 cabang di 33 pusat pengundian, berlangsung dalam suasana aman dan terkawal dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

“Hanya sedikit masalah teknikal yang berlaku di cabang Kota Kinabalu, Tawau dan Sepanggar pada pagi tadi, kerana tablet yang digunakan mengalami masalah disebabkan ramai pengguna...namun ia dapat diatasi dalam masa 30 minit.

“Jumlah peratusan yang keluar mengundi amat memberangsangkan dan lebih 50 peratus kehadiran yang direkodkan di semua cabang,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Di SARAWAK, sebanyak 27 daripada 31 kepimpinan cabang PKR menang tanpa bertanding, dalam pemilihan parti yang berlangsung secara dalam talian hari ini.

Pemangku Pengerusi PKR Sarawak Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata bahawa empat cabang yang menyaksikan pertandingan untuk jawatan ketuanya terdiri dari Santubong, Stampin, Kota Samarahan dan Hulu Rajang.

“Saya tidak dapat memaklumkan keputusan (dari pertandingan) ini, kerana kesemuanya (maklumat) disalurkan terus ke peringkat jawatankuasa pusat di Kuala Lumpur secara dalam talian,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya beliau sendiri yang telah memenangi jawatan Ketua Cabang Batang Lupar dalam pemilihan hari ini, masih belum dapat mengesahkan sama ada akan dipilih sebagai Pengerusi PKR Negeri Sarawak.

“Perkara ini (pemilihan pengerusi PKR negeri Sarawak) akan diputuskan oleh kepimpinan PKR di peringkat pusat,” tambahnya.

Di PERAK berlaku sedikit salah faham, susulan khemah penyokong-penyokong diletakkan terlalu dekat dan berlakunya perang mulut antara penyokong-penyokong Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad dan Mustapa Mansor Amer Mohd Isa, bagi jawatan Ketua Cabang PKR Tambun.

Muhamad Arafat berkata terdapat sedikit kekecohan, yang berpunca apabila pihak lawan tidak mematuhi peraturan ditetapkan yang mana mereka tidak boleh berada kurang daripada 200 meter dari pusat pengundian.

“Difahamkan mereka telah menyerahkan senarai jawatankuasa calon di dalam kawasan tidak dibenarkan sejauh radius 200 meter,” katanya pada sidang media di perkarangan pusat pengundian di sini.

Beliau berkata selain isu khemah, tiada isu lain yang berbangkit malahan katanya pengundian kali ini lebih lancar, kerana pengundi disediakan 40 tablet berbanding 20 tablet pada Pemilihan PKR 2018.

Seramai 135,407 ahli PKR telah mengundi dalam Pemilihan PKR 2022, termasuk 76,932 yang mengundi secara dalam talian sejak 18 sehingga 20 Mei, manakala 57,512 ahli mengundi secara fizikal.

Pemilihan PKR 2022 menyaksikan seramai 11,282 calon merebut pelbagai jawatan di peringkat pusat, cabang dan sayap berlangsung secara fizikal di setiap negeri, kecuali pemilihan di cabang Hulu Selangor yang terpaksa ditangguhkan berikutan isu prasarana.

Keputusan tidak rasmi calon yang menang akan dipaparkan di laman web rasmi PKR dalam tempoh 24 jam selepas proses pengundian tamat hari ini, sementara keputusan rasmi akan diumumkan di Kongres Nasional PKR pada 25 Jun.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image