BERLIN: Pengawal selia tenaga Jerman, Bundesnetzagentur pada Khamis memberi amaran tentang kekurangan gas pada musim sejuk akan datang, mengakui bahawa matlamat kerajaan untuk mencapai simpanan hingga 95 peratus menjelang 1 Nov mungkin tidak dapat dicapai, lapor Agensi Anadolu.

Presidennya, Klaus Mueller memberitahu portal berita t-online bahawa penggunaan gas akan meningkat dengan ketara pada musim luruh, menjadikannya lebih sukar untuk mencapai sasaran yang ditetapkan kerajaan.

“Saya tidak fikir kita akan dapat memenuhi sasaran simpanan seterusnya seperti mana yang telah dicapai sebelum ini. Mencapai 85 peratus menjelang 1 Okt bukanlah mustahil, tetapi ia sangat tidak relevan, kerana kita akan menggunakan gas untuk pemanasan,” katanya.

“Dalam pelbagai senario, misi untuk mencapai sasaran 95 peratus paras simpanan menjelang 1 Nov semakin sukar. Kami hampir tidak akan dapat melakukannya,“ tambahnya.

Pada bulan lepas, Jerman mula melaksanakan pelan kecemasan untuk menjimatkan penggunaan gas ketika musim sejuk, di tengah-tengah kebimbangan bahawa Rusia boleh memotong sepenuhnya bekalan ke Eropah.

Jerman mempunyai kapasiti penyimpanan gas kira-kira 23 bilion meter padu, dan ketika ini jumlah tahap simpanan adalah sekitar 77 peratus, menurut Bundesnetzagentur.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image