BATU PAHAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 6 Bakri melumpuhkan satu sindiket penjualan arak menggunakan setem cukai kastam yang dipercayai palsu, melibatkan rampasan bernilai RM1.3 juta di Taman Bandar Cahaya Baru, Yong Peng, dekat sini pada 25 Mei lepas.

Pegawai Pemerintah Supt Rozasin Ramlan berkata ia adalah hasil serbuan ke atas sebuah stor simpanan sebuah syarikat menjual arak pada 10.15 pagi selepas pihaknya membuat risikan selama dua minggu.

“Melalui serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang bertindak sebagai penjaga stor terbabit turut ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat, di sini hari ini.

Menurut Rozasin, sindiket berkenaan dipercayai aktif mengedar arak terbabit di daerah ini dan kawasan sekitar dan pihaknya sedang memburu ahli sindiket yang masih bebas.

Kes disiasat menurut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, beliau berkata bagi tempoh Januari tahun ini hingga semalam, pihaknya melakukan 10 serbuan berkaitan cubaan menyeludup rokok, arak, dadah, mercun dan kenderaan di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, melibatkan keseluruhan rampasan bernilai RM4.6 juta.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image