KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menjenama semula jawatan Pegawai Pertanian dan Penolong Pegawai Pertanian kepada Renjer Taman dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan pengurusan landskap, pokok teduhan serta taman awam sekitar ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah (gambar) berkata selain mewujudkan pakaian seragam khas, skop tugas unit di bawah Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi itu turut diperluas.

“Kini unit ini bukan sahaja perlu mengelola bahagian penyelenggaraan pokok dan landskap tetapi juga bertanggungjawab terhadap kawalan keselamatan, memberi penerangan berkenaan jenis tanaman kepada pelawat serta mengenal pasti keadaan kesihatan pokok,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Katanya skop kerja penyelenggaraan pokok teduhan juga kini dikembangkan dengan pemeriksaan dan rawatan pokok berisiko serta inventori pokok berusia sekitar ibu kota bagi menjamin keselamatan orang ramai.

Mahadi berkata tugasan Renjer Taman juga dipelbagaikan dengan pembiakan spesies pokok unik dan terancam untuk tujuan konservasi selain tanaman semusim bagi tanaman landskap di bandar raya termasuk di kawasan tumpuan pelancongan.

Terdahulu Mahadi menyerahkan watikah pelantikan Renjer Taman itu dan turut melancarkan buku Wayside Trees The Natural Pillars and Roofs of The Perdana Botanical Garden.

Buku diterbitkan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) itu menyenaraikan maklumat 343 spesies pokok yang terdapat di sekitar kawasan Taman Botani Perdana bagi memudahkan proses pengecaman dan pembelajaran pelawat selain meningkatkan kesedaran dan menyokong usaha perhutanan bandar. -Bernama