Rentas fahaman politik akan dimanfaat untuk negara: Nancy

KUALA LUMPUR: Pengalaman dan hubungan baik bersama ahli-ahli Jemaah Menteri merentasi fahaman politik akan dimanfaatkan sebaiknya untuk terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri (gambar).

Nancy berkata beliau menjunjung kasih ke bawah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan Seri Paduka yang membawa kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik dan ketenteraman rakyat Malaysia.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Pelantikan ini merupakan satu tanggungjawab dan amanah besar yang akan saya pikul sebagai cabaran untuk terus berbakti kepada masyarakat dan negara,“ katanya dalam kenyataan malam ini.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub menerusi laman Facebook berkata lebih banyak usahasama diperlukan dalam Kerajaan Perpaduan untuk mendukung aspirasi rakyat, sekali gus memacu ekonomi Malaysia yang lebih mampan.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan peluang untuk saya terus menabur bakti dalam Kabinet... Saya, Salahuddin Ayub sedia menggalas amanah yang diberikan untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dengan kos sara hidup yang lebih lestari,“ katanya.

Nancy dan Salahuddin adalah antara Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Al-Sultan Abdullah di Istana Negara di sini hari ini.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image