KUCHING: Lebih 6,000 Keluarga Malaysia dari Sarawak menyertai acara Kenduri Rakyat bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Sarawak di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini hari ini.

Ketibaan Ismail Sabri disambut dengan persembahan tarian singa, hadrah dan tarian ngajat, yang menggambarkan penglibatan pelbagai etnik di Sarawak, berteraskan konsep Keluarga Malaysia iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

Majlis turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta pimpinan tertinggi negeri.

Pelbagai menu istimewa kaum Melayu Sarawak diketengahkan dalam program Kenduri Rakyat atau istilah tempatan ‘Pengilan’ itu; antaranya Nasi Minyak, Daging Masak Hitam, Ayam Masak Merah, Sambal Goreng Ikan Masin, Keceni Nanas, Buah-buahan, Bubur Pedas dan Ais Batu Campur (ABC).

Sambil menjamu selera Perdana Menteri serta pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan ‘Bermukun’, yakni hiburan tradisional Sarawak yang menggabungkan persembahan tarian dan pantun berirama yang diiringi gesekan biola serta gendang, menjadi simbolik penutupan Kenduri Rakyat.

Jelajah AKM ini berkonsepkan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dengan menggambarkan keutuhan negara yang terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sebuah keluarga, selain frasa Keluarga Malaysia itu disifatkan lebih inklusif kerana merentasi sempadan agama dan bangsa.

Sepanjang tiga hari jelajah AKM Sarawak yang bermula Jumaat lepas, pelbagai acara dan aktiviti disediakan dengan penglibatan 28 agensi perkhidmatan awam yang menyediakan pelbagai bantuan dan perkhidmatan.-Bernama