SEPANG: Ahli keluarga yang terpisah, ada yang selama hampir dua tahun ekoran pandemik Covid-19 hari ini bertemu semula dengan mereka yang disayangi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini menerusi program Laluan Perjalanan Vaksinasi melalui udara (VTL-udara) bermula hari ini.

Ibu bapa yang tidak dapat bertemu anak-anak mereka, isteri yang menanti kepulangan suami akhirnya dapat menatap wajah ahli keluarga mereka yang menaiki penerbangan pesawat pertama VTL dari Singapura muncul dari Balai Ketibaan.

Pesawat Singapore Airlines penerbangan SQ108 yang membawa 240 penumpang mendarat di KLIA pada pukul 9.25 pagi tadi disambut dengan tembakan meriam air, sementara warga Malaysia yang kembali hari ini disambut dengan air mata kegembiraan oleh ahli keluarga yang menanti kepulangan mereka.

Seorang daripada penumpang, Khadijah Ahmad, 54 berkata dia merasa lega dan gembira kerana Malaysia dan Singapura bersetuju melaksanakan VTL-udara kerana tidak dapat pulang ke tanah air selama hampir dua tahun sejak 2020 berikutan pandemik Covid-19.

“Saya rasa gembira dan teruja untuk bertemu keluarga saya,” kata Khadijah yang pulang bersama anak lelakinya dan disambut suaminya Abdul Jalal Mohd Tahir, 58.

“Sebelum ini saya sudah memohon My Travel Pass untuk kembali ke tanah air tetapi tidak diluluskan. VTL-udara ini sudah pasti satu program yang baik dan ahli keluarga boleh bertemu selepas terpisah dalam masa yang lama,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di KLIA di sini hari ini.

Abdul Jalal pula yang nyata teruja kerana akhirnya dapat bertemu kembali isteri dan anaknya berkata: ”Sebelum ini, kami hanya berhubung antara satu sama lain menerusi telefon ataupun panggilan video dan kini kami boleh meluangkan masa bersama.”

Nita Kaur, yang hampir setahun tidak berjumpa dengan bapanya kerana bekerja di Singapura, sangat merindui bapanya yang tinggal di Muar, Johor malah hampir setiap hari menghubunginya secara panggilan video bagi melepaskan kerinduan.

“Saya dan keluarga berada di Singapura tetapi ayah saya di sini (Malaysia). Sangat gembira, teruja dan sedikit beremosi apabila akhirnya dapat pulang ke tanah air.

Tak sabar nak jumpa ayah dan saya harapkan, tiada lagi ‘lockdown’ (sekatan pergerakan) selepas ini. Cukuplah kerana saya nak bertemu ayah saya,“ kata wanita berusia lingkungan 50-an itu dengan nada sebak.

KLIA, pintu masuk antarabangsa utama Malaysia, mula menerima ketibaan pengembara dari Singapura di bawah VTL-udara yang dipersetujui Kerajaan Malaysia dan Singapura.

Pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) akan menerima enam penerbangan VTL secara keseluruhan hari ini, membawa 1,300 penumpang dari Singapura.

Pada 8 Nov, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong mengumumkan Malaysia dan Singapura akan melancarkan VTL antara Lapangan Terbang Changi dan KLIA hari ini.

Di bawah VTL, individu yang lengkap divaksin dibenarkan untuk melakukan perjalanan antara Singapura dan Malaysia tanpa perlu menjalani kuarantin atau Notis Duduk Rumah (SHN) jika mereka negatif ujian Covid-19. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image