MELAKA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang anggota tentera dari Unit Komando yang dikhuatiri lemas ketika latihan menyelam di perairan Pulau Undan semalam, diteruskan hari ini kira-kira 8 pagi tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata sektor pencarian mangsa berusia 25 tahun itu meliputi kawasan seluas 1,040 kilometer persegi.

“Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) telah ditubuhkan di Pulau Besar dengan penglibatan dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Selain itu, sembilan aset daripada agensi-agensi sahabat termasuk pesawat Dolphin APMM, pesawat King Air Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM, RH 22 Pasukan Polis Marin (PPM) dan bot Kevlar daripada JBPM dan lima bot taktikal daripada ATM,“ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iskandar berkata maklumat berhubung kejadian itu diterima pada 3.55 petang semalam dari Balai Polis Kandang dan mangsa yang berpakaian selam itu dipercayai hilang ketika menjalani latihan di kedudukan 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.

Katanya, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan SAR pada 5.15 petang semalam dan bot BENTENG 04 serta bot PETIR 83 ke digerakkan ke lokasi kejadian namun tiada sebarang penemuan ditemukan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menyalurkan terus kepada Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan 999 yang beroperasi secara 24 jam,“ katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image