JOHOR BAHRU: Sekretariat Rukun Negara (SRN) akan diperluaskan ke seluruh institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menyemai dan memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat khususnya pelajar IPT.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique(gambar) berkata setakat ini, sebanyak 187 SRN telah ditubuhkan melibatkan IPT Awam dan Swasta termasuk Politeknik, Kolej Matrikulasi, Kolej Komuniti dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Kita wujudkan SRN di IPT dengan harapan pelajar-pelajar ini akan dapat menjadi duta perpaduan kita dan menyemarakkan Agenda Perpaduan Nasional sekali gus dapat mengadakan pelbagai aktiviti di bawah Program Semarak Uniti dalam kalangan pelajar.

“Misalnya di universiti kita tahu anak-anak yang belajar terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, mudah-mudahan IPT ini akan menjadi satu tapak integrasi yang mewujudkan apa jua yang diharapkan dalam Agenda Perpaduan Nasional,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Debat Perpaduan Keluarga Malaysia Piala Menteri Perpaduan Negara 2022 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai di sini hari ini. Turut hadir Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Halimah berkata bermula tahun ini, Geran Aktiviti SRN akan diberikan kepada IPT yang menyertai sekretariat tersebut bagi memudahkan institusi itu merangka program bersama masyarakat berdasarkan modul yang akan dilancarkan kementerian tidak lama lagi.

Berucap pada majlis itu, Halimah berkata daripada 187 IPT yang menyertai SRN, Kolej Komuniti merupakan jumlah terbanyak menyertai sekretariat itu iaitu 51 buah diikuti IPTS (34), IPTA (30), Politeknik (28), IPG (27) dan Kolej Matrikulasi (17).

SRN ditubuhkan pada 2005 dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Pengajian Tinggi sebagai platform menyemai dan memperkukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar IPT.

Terdahulu, Universiti Malaya diumumkan sebagai johan Debat Perpaduan Keluarga Malaysia Piala Menteri Perpaduan Negara 2022 dengan membawa pulang Geran Aktiviti SRN bernilai RM20,000, wang tunai RM5,000, piala pusingan, trofi dan sijil penyertaan.

Naib johan pula jatuh kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan membawa pulang Geran Aktiviti SRN bernilai RM10,000, wang tunai RM3,000, trofi dan sijil penyertaan.

Nur Hannani Zulkifli dari IPG Bahasa Antarabangsa diumumkan sebagai Pendebat Terbaik (Keseluruhan).-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image