Sultan Nazrin perkenan dana khas RM14.6 juta bantu rakyat Perak

IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah(gambar) hari ini berkenan memberi perkenan peruntukan dana khas bantuan berjumlah RM14.6 juta bagi membantu rakyat terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata Sultan Nazrin memahami kesan langsung PKP 3.0 dalam kalangan asnaf fakir, miskin serta golongan tidak berpendapatan tetap dan menitahkan MAIPk menyediakan dana khas bantuan tersebut.

Mohd Annuar berkata baginda turut memahami tugas berat dihadapi petugas barisan hadapan yang memerlukan peralatan rawatan dan perubatan tertentu untuk menangani wabak Covid-19 selain peka kebajikan para petugas pasukan keselamatan yang sedang berada di barisan hadapan.

“Dengan itu, baginda menitahkan agar MAIPk menyediakan dana khas dan baginda memperkenankan dana berjumlah RM14.6 juta. Ini termasuk Bantuan Kecemasan Kelangsungan Hidup berjumlah RM10.9 juta untuk ketua isi rumah (KIR).

“Bantuan itu juga adalah untuk penerima bantuan kewangan bulanan MAIPk yang terjejas sumber pendapatan kerana diberhentikan kerja, tidak dapat menjalankan perniagaan, diberi cuti tanpa gaji kerana majikan menghentikan operasi atau atas sebab-sebab lain yang munasabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Annuar berkata Sultan Nazrin turut memperkenankan agar MAIPk menyediakan tajaan peralatan rawatan dan perubatan yang diperlukan segera Jabatan Kesihatan Perak bagi kegunaan petugas medan di barisan hadapan bernilai RM606,000.

Beliau berkata sebanyak RM400,000 juga akan disumbangkan kepada petugas barisan hadapan Covid-19 yang akan disalurkan melalui agensi-agensi berkaitan untuk keperluan kebajikan petugas barisan hadapan.

“Dana khas ini turut menyediakan bantuan pakej tablet dan data Internet untuk usahawan dalam kalangan asnaf bagi menjalankan perniagaan secara dalam talian dan kepada pelajar tingkatan lima dalam kalangan ketua isi rumah fakir dan miskin yang berjumlah RM1.5 juta.

“Selain itu, untuk mahasiswa dan mahasiswi negeri Perak yang sedang berada di luar negara seperti di Mesir, Jordan, Indonesia dan lain-lain negara, Bantuan Kebajikan Pelajar Luar Negara turut disediakan dengan peruntukan sebanyak RM200,000,” katanya.

Mohd Annuar berkata dana khas itu turut menyediakan bantuan berjumlah RM400,000 bagi pusat jagaan anak yatim, rumah orang tua dan warga emas Islam, tajaan bekalan makanan institusi pendidikan dan sumbangan kepada pusat gelandangan sementara di bawah kendalian kerajaan negeri Perak, dengan masing-masing berjumlah RM200,000.

“Sebanyak RM200,000 disediakan di bawah Program Vaksinasi Covid-19 MAIPk untuk membiayai belanja vaksinasi kepada kumpulan yang dikenal pasti memerlukan vaksinasi segera, dan MAIPk turut memberikan pengecualian bayaran sewa serta pajakan hartanah wakaf berjumlah RM98,000 dan hartanah baitulmal berjumlah RM50,000 di premis dan tapak perniagaan MAIPk bagi bulan ini.

“MAIPk turut mengkaji tempoh pengecualian bayaran sewa dan pajakan bergantung pada tempoh sama ada PKP 3.0 akan dilanjutkan,” katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image